Perang Larut Ngah Ibrahim

Perang Larut Pertama

Menjelang tahun 1861, persaingan antara pelombong bijih daripada kongsi Go-Kuan dan kongsi Si-Kuan panas membara dan meledak menjadi peperangan terbuka antara kedua kongsi tersebut dalam bulan Julai 1861. Perang ini dipanggil Perang Larut. Pihak British melihat Perang Larut sebagai satu gangguan kepada bekalan bijih timah mereka.

Punca Perang ialah perbalahan mengenai kawalan atas saliran sungai ke lombong bijih. Sumber air penting untuk proses perlombongan bijih timah kerana kaedah perlombongan palong digunakan. Lantaran tidak berpuas hati, kumpulan Ghee Hin di Klian Baru (Kamunting) diserang oleh kumpulan Hai San di Klian Pauh (Taiping).

Gangguan bekalan timah menyebabkan pedagang Cina di Pulau Pinang, yang membuat pelaburan besar di dalam industri perlombongan bijih, berasa rimas dan resah, kerana perniagaan mereka kini terjejas. Mereka membuat aduan kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat (NNS) untuk mengambil tindakan memulihkan keadaan. Walau bagaimanapun, lantaran perjanjian 1826 menetapkan supaya Perak ditadbir mengikut adat dan resam Kesultanan Perak, pihak British tidak dapat campur tangan melainkan meminta supaya keamanan dipulihkan agar bekalan bijih timah tidak terganggu.

Akhirnya, disebabkan tekanan daripada peniaga-peniaga di Pulau Pinang, Gabenor Negeri-Negeri Selat Kolonel William Orfeur Cavenagh masuk campur dan memaksa Ngah Ibrahim bertindak menenangkan keadaan. Ngah Ibrahim, bagi pihak Sultan Perak, terpaksa membayar $17,447.04 sebagai ganti rugi kepada kumpulan Ghee Hin

Perang Larut Kedua

Walaupun terpaksa menerima damai, kumpulan pelombong masih tidak berpuas hati. Keadaan tegang bagaikan retak menunggu belah. Masalah yang paling kecil akan mencetuskan perbalahan besar. Dalam bulan Jun 1865, Perang Larut Kedua meletus. Kali ini dicetuskan oleh perbalahan semasa berjudi oleh kumpulan ahli-ahli kongsi gelap.

Kumpulan Hai San menawan 14 orang ahli Kumpulan Ghee Hin sebagai tebusan, dan akhirnya membunuh 13 orang daripada mereka pada waktu malam. Tebusan terakhir berjaya melepaskan diri dan memberitahu kejadian kepada kumpulannya. Kumpulan Ghee Hin membalas dendam dan menyerang perkampungan Hai San, dan membakar bangunan di dalam kampung itu dan membunuh 40 orang penduduk. Sekali lagi, bekalan bijih terganggu. Perbalahan merebak sehingga ke Seberang Perai dan Pulau Pinang, . Kumpulan kongsi gelap selain Kumpulan Ghee Hin dan Kumpulan Hai San seperti Kumpulan Bendera Putih turut terlibat. Siasatan yang dijalankan pentadbir British mendapati kedua-dua Kumpulan Ghee Hin dan Kumpulan Hai San bersalah kerana mengganggu keamanan Pulau Pinang dan masing-masing dikenakan denda $5,000 dan beberapa pemimpin mereka dibuang negeri.

Perebutan kuasa

Dalam tahun 1871, Sultan Ali, paduka Sultan Perak mangkat. Ketidakpatuhan sistem pewarisan takhta mengakibatkan perebutan kuasa di kalangan 3 orang pembesar Melayu, iaitu Raja Yusof, Raja Ismail dan Raja Abdullah.

Perang Larut Ketiga

Ngah Ibrahim bersungguh-sungguh mahu mengawal keadaan dan mengambil seorang pegawai Inggeris, Kapten Tristam Speedy untuk membantunya mentadbir Larut dengan aman supaya peniaga di Pulau Pinang tidak merungut dan pihak British tidak memberikan tekanan politik. Kapten Tristam Speedy sebelum itu ialah Penguasa (Superintendent) Polis di Pulau Pinang, dan mempunyai rekod cemerlang sebagai seorang pegawai tentera di India, Ceylon dan Afrika. Namun, usaha Ngah Ibrahim tidak berhasil.

Perang Larut Ketiga tercetus akibat satu skandal melibatkan Lee Ah Khun, seorang pemimpin Ghee Hin dengan isteri kepada anak saudara Chung Keng Quee. Selepas perhubungan mereka diketahui, mereka ditangkap, diseksa dan dimasukkan dalam satu raga yang digunakan bagi mengisi khinzir dan dihumban ke dalam sebuah lombong terbiar dan dibiarkan lemas.

Kumpulan Ghee Hin membalas dengan dengan membawa 4,000 orang pejuang profesional dari negeri China yang dibawa masuk melalui Pulau Pinang untuk menyerang kumpulan Hai San. Buat kali pertamanya, kumpulan Hai San tewas dan diusir keluar dari Klian Pauh, dan 10,000 pengikut Hai San mencari perlindungan di Pulau Pinang.

Ngah Ibrahim membantu Kumpulan Hai San dan akhirnya mendapat semula kawasan perlombongan mereka di Klian Pauh. Dalam masa itu, Raja Abdullah, salah seorang yang merebut jawatan Sultan menyebelahi Kumpulan Ghee Hin menentang Ngah Ibrahim. Perang Larut kini memecahbelahkan pembesar Melayu menjadi puak-puak yang bersengketa. Keadaan ini melemahkan kedudukan pembesar Melayu.

Perang Larut Keempat

Perang Larut Keempat meletus dalam tahun 1873, kurang setahun selepas berakhirnya Perang Larut Ketiga. Selepas Kumpulan Hai San, dengan bantuan Ngah Ibrahim, menguasai semula kawasan lombong di Klian Pauh, Kumpulan Ghee Hin yang disokong oleh Raja Abdullah menyerang balas dengan pejuang dan senjata yang dibawa dari Singapura dan China.

Harta benda milik Ngah Ibrahim juga turut dimusnahkan dan penduduk Melayu dibunuh dan harta benda mereka dimusnahkan. Kekacauan merebak ke daerah Krian, Pangkor dan Dinding. Pembesar Melayu yang sebelum itu menyebelahi kumpulan Cina yang berbalah terperanjat melihat huru hara akibat perbalahan antara dua Kumpulan Cina tersebut. Kemusnahan yang dibawa oleh 40,000 orang Cina yang berbalah membawa padah besar kepada negeri Perak sehingga melibatkan keluarga di-Raja Perak.

Peniaga di Pulau Pinang sekali lagi melihat pelaburan mereka hancur lebur akibat perbalahan dan sekali lagi meminta gabenor Negeri-Negeri Selat mengambil tindakan memulihkan keamanan di Perak agar perniagaan mereka tidak kerugian. Dalam pada itu, Raja Abdullah menyingkir Sultan Ismail daripada takhta Perak dan menabalkan dirinya sebagai Sultan.

Raja Abdullah pada 30 Disember 1873 mengutuskan sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat meminta bantuan British untuk menghantar "seorang yang cukup berwibawa untuk membolehkan kewujudan satu sistem kerajaan yang baik di Negeri Perak". William Pickering dihantar ke Larut untuk merundingkan keamanan dengan kaum Cina yang berbalah dan untuk menerima penyelesaian dan timbang tara British. Sementara itu Frank Swettenham (yang fasih berbahasa Melayu dan boleh menulis Jawi) dihantar untuk memujuk pembesar-pembesar Melayu menghadiri perjumpaan di Pulau Pangkor.

Keadaan kian tidak terkawal, dan kekecohan membawa padah kepada pembesar Melayu, kaum Cina dan juga kepada pentadbir British di Negeri-Negeri Selat. Keperluan mengamankan semula negeri Perak kini memberikan sebab kepada British untuk masuk campur dalam pentadbiran negeri Perak. Pada 15 Januari 1874, pasukan tentera British tiba di Pulau Pangkor. Keadaan ini memberikan tekanan kepada pihak yang berbalah untuk menghadiri perjumpaan di Pulau Pangkor. Pada 20 Januari 1874, Perjanjian Pangkor ditandatangan oleh pihak-pihak yang berbalah di atas HMS Pluto, sebuah kapal meriam British.